profile
HAKAM BLOGGER
contact archivefollow?
i saw the lights go down at the end of the scene *
Are you interested with the human rights issue? Come participated in this blog to discuss more about human right and sharing idea towards hos we can overcome this issues. Feel free to comment.
BALIK KAMPUNG???
Saturday, 2 July 2016 *


Assalammualaikum dan salam sejahtera, pejam celik pejam celik Ramadhan sudah ingin melabuhkan tirai. Sedih dan sayu juga nak tinggalkan Ramadhan ini. Ntah cukup or tidak ibadah puasa kita ini. Tapi apa-apa pun blog mesti kena update juga..hehehe..

Ok sekarang ini nak cerita tentang mood balik kampung. Semua orang mesti nak balik kampungkan?. Tapi nak balik kampung itu kena beringat dahulu tentang keselamatan ketika memandu. Rata-rata rakyat Malaysia masih memandang enteng tentang keselamatan jalan raya bila tiba hari perayaan. Agaknya apa sebab disebalik sikap sambil lewa ini berlaku dalam diri rakyat Malaysia.

Anda boleh dapatkan informasi terkini tentang trafik jalan raya di
  • http://trafik.rmp.gov.my/COPSPortal/Index.aspx
BREXIT or BREMAIN
Thursday, 30 June 2016 *


BREXIT: ANTARA TANGISAN DAN SORAKAN
Buat julung kalinya, Artikel 50 dalam Perlembagaan Kesatuan Eropah iaitu Perjanjian Lisbon akan dipohon. Dan setelah 23 tahun ditubuhkan daripada binaan Komuniti Ekonomi Eropah, United Kingdom akan melangkah keluar daripada Kesatuan Eropah susulan keputusan sebuah referendum bersejarah yang menyaksikan perletakan jawatan David Cameron. Ini merupakan kemenangan besar kepada Nigel Farage dan Boris Johnson, serta ramai lagi yang berjiwa anti-Eropah.
Tetapi reaksi dalam negara (serta benua) bercampur aduk. Di sebalik sorakan dan lonjakan rasisme, kerisauan semakin menebal, terutamanya mengenai visa, kenaikan harga barangan, dan lain-lain lagi [1]. Tentunya, langkah sebegini akan mempunyai impak yang besar, positif atau negatif.
Terdapat banyak sebab di sebalik langkah keluar ini. Seperti biasa dalam semua krisis politik, punca utama adalah masalah ekonomi. Tiada masyarakat yang akan berbangga dengan krisis kewangan. Dan ekonomi Kesatuan Eropah telah merudum sejak 2009, kini lembap ibaratkan peninju yang keletihan setelah dipukul. Greece, Italy dan Perancis adalah tiga negara yang menentang langkah penjimatan dan rajah pengangguran tinggi dalam Kesatuan Eropah.
Penyebab kedua adalah sifat kemanusiaan Kesatuan Eropah yang dilihat negatif pada ketika Brussels meletakkan kuota bagi imigrasi. Lebih daripada satu juta pendatang asing, termasuk pelarian Perang Saudara Syria, tiba di Kesatuan Eropah pada 2015. Daripada pihak haluan kanan serta kiri, tindakan Kesatuan Eropah telah dikritik rapat.
Jadi setelah bahan-bahan mendidih dalam periuk, berlakunya Brexit pada 23 Jun 2016. Kini Brussels perlu bersedia dengan arus keluaran yang bakal menyusul seperti kesan Domino. Netherlands, Itali dan Perancis telah meletakkan sasaran kepada talak yang mampu dilafazkan [2]. Tetapi barangkali perkara ini akan berlaku telahpun diserap baik dalam pemikir-pemikir Kesatuan Eropah. Langkah-langkah pencegahan sudah tersedia untuk menghentikan wabak sedemikian, yang akan mematahkan Kesatuan Eropah sepertimana Maut Hitam memusnahkan bangsa Eropah.
Untuk United Kingdom keluar daripada Kesatuan Eropah, kerajaan London perlu memohon Artikel 50. Barulah proses rasmi untuk keluar akan bermula, dan pemohon mempunyai dua tahun untuk merunding. Bagi negara bersaiz seperti United Kingdom, proses ini mungkin akan makan masa lebih lama. Dan beberapa negara Kesatuan Eropah berpihak bahawa Artikel 50 dipohon serta-merta [3] untuk elakkan ketidaktentuan.
Dengan talak yang semakin dipermudah, United Kingdom juga perlu berdepan dengan talak dalaman. Akibat poligami besar-besaran, United Kingdom kini berbeza pendapat antara isteri – England-Wales dan Scotland-Ireland Utara yang masing-masing memilih untuk Brexit dan Bremain. Kini desas-desus untuk referendum kemerdekaan Scotland kedua semakin dipermainkan, memandangkan Scotland diheret keluar daripada Eropah dengan demokrasi yang tidak diingini [4].
Dan reaksi terhadap referendum ini sendiri telah menunjukkan gambaran pengalaman ngeri yang menanti. Brexit telah memberi tumbukan padu maut apabila mendapatkan Sheffield dalam pengaruhnya. Bandar tersebut yang dijangka akan memihak kepada Bremain adalah titik permulaan kepada kemenangan Brexit. Selesai sahaja kiraan undian Sheffield, datang satu lagi tumbukan maut apabila berita kemenangan besar Brexit di negara Wales timbul.
Bremain tidak akan bangun semula daripada dua tumbukan ini. Dan lebam-lebamnya dapat dilihat dalam pasaran saham. FTSE 100 menurun 8% setelah dibuka di London [5]. Jualan dalam bank seperti Barclays dan RBS meningkat kepada 30% [6]. Nilai pound sterling dihentam, merudum ke paras paling teruk sejak 1985 [7].
Untuk menenangkan keadaan, Canselor George Osborne tampil beri keterangan bahawa United Kingdom bersedia untuk berdepan masa depan tanpa bajet kecemasan [8]. Menurutnya, United Kingdom berada di “kedudukan yang kuat.” Tetapi kebenaran disebaliknya perlulah ditentukan berdasarkan garisan masa. Walaubagaimanapun, FTSE 100 dan Pound Sterling beransur pulih selepas dua hari sahaja.
- Ahmad Faezal -
HAK ASASI PERIBUMI ORANG ASLI SEMENANJUNG


Assalammualaikum dan salam sejahtera, rasanya dah lama tak update blog ini. Dah bersarang dah.hehehehe. Tapi sekarang mood tengah ada balik nak update blog jadi topik kali ini nak bincangkan tentang hak asasi juga tapi dalam konteks orang asal atau orang asli. Ahh antara sebab nak ambil topik ini sebab pada 28 Mei yang lalu ada join satu rombongan jejak rimba anjuran pelajar master dalam jurusan ekonomi UKM dekat perkampungan orang asli di Semenyih. Pada asalnya macam malas nak join program ini sebab memikirkan tugasan tak siap lagi tapi entah macam mana termakan pujuk rayu roommate untuk join program ini. Secara ringkasnya program ini memang bermanfaat dalam mengasah bakat mahasiswa dalam menganjurkan organisasi disamping belajar tentang perbezaan budaya antara kaum pribumi di Semenanjung Malaysia. Jadi mari kita kupaskan tentang hak asasi orang asli di Malaysia.

(a)   Hak Tanah Orang Asli/Asal
Sejak penubuhannya pada tahun 1999, Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) telah berhadapan dengan pelbagai aduan daripada Orang Asli/Asal di Semenanjung Malaysia dan Anak Negeri di Sabah dan Sarawak, atau secara berkumpulan lebih dikenali sebagai Orang Asal (Indigenous Peoples) Malaysia berkaitan hak asasi mereka, secara spesifik, dakwaan mengenai pencabulan hak-hak tanah adat masyarakat Orang Asal.
SUHAKAM berpendapat bahawa isu tanah yang berterusan dan sistemik yang mempengaruhi Orang Asli/Asal dalam negara ini dapat dikendalikan dengan cara terbaik melalui satu pendekatan yang komprehensif dan mendalam dengan tujuan untuk memahami dengan lebih baik lagi mengenai isu tanah dan cara terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan demi kepentingan untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia komuniti Orang Asli/Asal di negara ini. Sehubungan dengan ini, SUHAKAM telah menjalankan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asli/Asal di Malaysia pada julung kali untuk meneliti punca utama isu tanah yang dihadapi oleh Orang Asli/Asal dari sudut hak asasi manusia. Inkuiri Nasional yang dijalankan dari Disember 2010 hingga Jun 2012 ini melibatkan beberapa siri pendengaran awam di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Hasil dapatan kajian ini telah dikumpulkan dalam sebuah laporan komprehensif yang bertajuk “Laporan Mengenai Inkuiri Nasional Hak Tanah Orang Asli/Asal di Malaysia” (Laporan Inkuiri Nasional) yang mengandungi isu dan syor utama untuk pertimbangan dan tindakan susulan pihak Kerajaan. Berikutan pengumuman umum Laporan Inkuiri Nasional pada 5 Ogos 2013, YB Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan keputusan Kabinet untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk mengkaji secara teliti laporan tersebut.
Suruhanjaya menyambut baik penubuhan Pasukan Petugas Khas oleh Kerajaan untuk mengkaji hasil dapatan dan syor Laporan Inkuiri Nasional. Suruhanjaya berharap Pasukan Petugas Khas ini akan menyiapkan laporannya dalam masa terdekat dan memastikan pelaksanaan awal dan efektif ke ke atas syor-syor yang dikemukakan dalam Laporan NI Suruhanjaya.
Sebagai pelan susulan, SUHAKAM merancang untuk mengadakan taklimat bersama pelbagai pihak berkepentingan berhubungan laporan Petugas Khas di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Untuk maklumat lanjut mengenai Inkuiri Nasional, sila rujuk kepada: http://www.suhakam.org.my/ms/national-inquiry/   
(b)   Hak kepada Pendidikan bagi Kanak-kanak Orang Asli
Walaupun pendidikan rendah adalah wajib bagi semua kanak-kanak, namun tidak ada peningkatan yang positif dalam kehadiran di kalangan kanak-kanak Orang Asli khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Oleh yang demikian, SUHAKAM sering kali mengadakan lawatan ke sekolah dan penempatan komuniti Orang Asli untuk menilai status pendidikan yang diterima oleh mereka.
SUHAKAM juga mengadakan mesyuarat dan perbincangan bersama pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk masyarakat Orang Asli, pihak berkuasa sekolah serta agensi kerajaan yang berkaitan untuk membincangkan isu-isu berhubung akses kepada pendidikan yang dihadapi oleh kanak-kanak Orang Asli.
edu
(c)  Penglibatan di peringkat serantau  
SUHAKAM juga memegang tanggungjawab sebagai ketua Institusi Hak Asasi Manusia Nasional (NHRI) bagi Projek Bersama Forum Institusi Hak Asasi Manusia Nasional Asia Tenggara (SEANF) mengenai Hak Orang Asal dan telah menganjurkan satu Konsultasi Serantau pada 14 Mac 2014 di Kuala Lumpur, yang dianjurkan bersama Pakatan Orang Asal Asia, Rangkaian Orang Asal Malaysia dan Rakan Organisasi Komuniti di Sabah. Sesi tersebut dihadiri oleh Pelapor Khas PBB bagi Hak Orang Asal, Prof James Anaya dan juga wakil NHRI dari Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand dan juga wakil dari pertubuhan Orang Asal dan Badan bukan Kerajaan (NGO) di Asia Tenggara.
Laporan lengkap mengenai Konsultasi Serantau boleh dimuat turun di sini.
(d) Lawatan ke penempatan Penan yang terjejas oleh projek pembinaan empangan di Sarawak
Susulan kepada aduan yang dikemukakan oleh kumpulan Penan dan aktivis, SUHAKAM telah mengadakan lawatan tapak ke kawasan penempatan Penan yang terjejas oleh projek Empangan Murum di Sarawak. SUHAKAM juga mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan termasuk masyarakat Penan dan pemaju projek berkenaan.
 edu1
Rujukan:
http://www.suhakam.org.my/ms/indigenous-people/
Secara natijahnya, hak asasi masyarakat peribumi khususnya di Semenanjung amat dijaga dengan rapi oleh agensi Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JKOAM) bagi memastikan hak dan kepentingan masyarakat peribumi dipelihara dan dipantau daripada dicerobohi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.
https://youtu.be/T2OKmAl3zng

Apa itu Perlembagaan Malaysia?
Sunday, 8 May 2016 *



Image result for perlembagaan persekutuan blogspotPERLEMBAGAAN MALAYSIA


8.1                    PENGENALAN

Tahukah anda apakah perlembagaan? Perlembagaan ialah suatu kumpulan undang-undang yang tertinggi untuk menentukan bagaimana pemerintahan sebuah negara itu mesti dijalankan. Perlembagaan sesebuah negara menerangkan dan memperuntukkan kuasa-kuasa yang dimiliki oleh pelbagai anggota negara itu, seperti hak-hak yang dipunyai oleh orang yang diperintah dan perhubungan antara yang memerintah dengan yang diperintah.

Seperti negara lain yang berdaulat di dunia, Malaysia mempunyai suatu Perlembagaan Persekutuan yang berfungsi sebagai undang-undang tertinggi negara. Perlembagaan Persekutuan menentukan pelbagai perkara mengenai kebebasan asasi, kewarganegaraan, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, perundangan, peruntukan kewangan, pilihan raya, kehakiman, perkhidmatan awam dan lain-lain. Dengan lain perkataan, bolehlah kita anggap bahawa Perlembagaan Persekutuan yang mencorakkan sistem pemerintahan di Malaysia.

Perlembagaan Malaysia diasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan tanah Melayu yang telah digubal dan dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid yang diketuai oleh Lord Reid. Suruhanjaya ini memulakan tugasnya dalam bulan Jun 1956 dan telah menyiapkan laporan perlembagaan menjelang bulan Februari 1957. Laporan ini kemudiannya dibahaskan oleh parti politik utama negara ini dan diluluskan oleh Majlis Perundangan dalam bulan Jun tahun yang sama. Perlembagaan Persekutuan mula dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957 apabila Tanah Melayu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu dan mengandungi semua negeri-negeri Melayu, Pulau Pinang, dan Melaka.

 
8.2       PERKEMBANGAN DAN PINDAAN PERLEMBAGAAN

Setiap perlembagaan bertulis mengalami perubahan atau boleh dipinda dari semasa ke semasa. Pindaan perlembagaan dibuat kerana sikap, fahaman dan kehendak rakyat telah berubah. Kadangkala keputusan mahkamah juga menyebabkan perlembagaan dipinda. Sejak Perlembagaan Persekutuan tanah Melayu digubal, ianya telah mengalami beberapa perubahan dan pindaan. Namun begitu, pindaan dan perubahan yang dibuat itu, sehingga kini masih kekal dengan sifat dalam lingkungan rangka perlembagaan asal yang telah diwujudkan itu.

Perubahan dan pindaan yang dilakukan dalam perlembagaan itu adalah didasarkan kepada beberapa perubahan yang berlaku di negara kita. Ini merupakan suatu perkara yang biasa, lebih-lebih lagi apabila terdapat sesuatu perkara dalam perlembagaan yang dirasakan tidak begitu sesuai lagi. Contohnya, apabila Persekutuan Tanah Melayu bertukar menjadi Malaysia dengan kemasukan Sabah dan Sarawak, perlembagaan telah dipinda supaya dapat disesuaikan sesuatu undang-undang itu dengan konsep Malaysia. Satu lagi peristiwa yang membawa kepada pindaan perlembagaan ialah tragedi berdarah 13 Mei 1969. ianya berkaitan dengan soal kebebasan hak asasi serta kesetiaan kepada Raja dan Perlembagaan.

Kebebasan asasi untuk bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan sewengang-wenangnya tanpa kawalan mencetuskan perkara yang tidak diingini. Di kalangan orang bukan Melayu misalnya, telah dengan lantangnya mempersoalkan kedudukan raja-raja, hak keistimewaan orang Melayu dan bahasa Kebangsaan. Akibat daripada tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969 itu, Parlimen pada tahun 1967 telah meluluskan akta meminda Perkara 10 Perlembagaan Malaysia mengenai kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Terdapat empat perkara yang dilarang bagi perbincangan umum, iaitu perkara-perkara yang dianggap sensitif, seperti soal kewarganegaraan, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, Bahasa Kebangsaan, dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Perlembagaan Malaysia juga sentiasa dikaji dari semasa ke semasa. Jika perlu ianya akan dipinda dan diubah mengikut kehendak pemimpin dan kerajaan yang memerintah. Kali terakhir berlaku pindaan Perlembagaan ialah semasa Dewan Rakyat bersidang pada bulan Ogos 1983 yang lalu. Dalam persidangan Dewan Rakyat pada bulan Julai 1983, Dewan telah meluluskan beberapa rang undang-undang yang kemudian diluluskan oleh Dewan Negara.
Perlembagaan Malaysia boleh dipinda melalui empat cara, iaitu

(i)           Dengan mendapat sokongan majoriti biasa.
(ii)         Dengan mendapat sokongan dua pertiga semasa dalam bacaan kedua dan ketiga dikedua-dua majlis dewan.
(iii)       Mendapat sokongan dua pertiga semasa bacaan kedua dan ketiga di kedua-dua majlis Parlimen serta persetujuan Majlis Raja-raja.
(iv)       Dengan mendapat sokongan dua pertiga semasa semasa bacaan kedua dan ketiga di kedua-dua majlis Parlimen serta mendapat persetujuan Yang Dipertuan negeri Sabah atau Sarawak (iaitu bagi pindaan berkaitan dengan negeri-negeri tersebut.) (lihat perbincangan dalam Bab 7, federalisme di Malaysia, Shaikh Mohd Noor Alam Bin S.M.,Hussain, KL: DBP, 1988).


Image result for perlembagaan persekutuan blogspot
 
8.3       TUJUAN PERLEMBAGAAN

Kewujudan sebuah perlembagaan bagi sesebuah negara yang berdaulat sangat penting. Ia akan menentukan perjalanan sesebuah negara berjalan dengan lancar atau sebaliknya. Tujuannya ialah

1.                      Menjamin Keutuhan dan Kedaulatan Negara

Perlembagaan boleh menjamin keutuhan dan kedaulatan sesebuah negara. Ia merupakan undang-undang tertinggi yang perlu dipatuhi dalam menetuka hala tuju sesebuah negara. Tanpa perlembagaan rakyat sesebuah negara tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian dan taat setia mereka dalam mendirikan sebuah negara yang makmur dan utuh. Semangat nasionalisme tidak akan wujud di kalangan rakyat yang tidak memikirkan dan mencintai negara mereka. Apabila semangat ini tidak terdapat di dalam diri seseorang rakyat, maka tidak akan wujud semangat patriotisme di dalam jiwa mereka sebagai satu syarat untuk menyumbangkan tenaga mereka terhadap negara. Justeru itu, negara menjadi lemah. Apabila sesebuah negara tidak mempunyai kekuasaan yang utuh, pemerintahan yang kuat, musuh dengan mudah mengambil alih kerajaan atau tampuk pemerintahan negara. Jadi dengan adanya perlembagaan negara, rakyat dapat berpegang kepada satu undang-undang yang diamalkan dan dihormati bersama untuk memastikan kewujudan sebuah negara yang berdaulat.

2.                     Sebagai Rujukan

Dengan adanya perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, pihak-pihak yang bertentangan antara satu sama lain boleh menjadikan ia sebagai sumber rujukan untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Keadaan tegang akibat daripada perasaan tidak puas hati dapat dielakkan jika rakyat diwajibkan menurut dan menghormati apa yang tercatat di dalam perlembagaan. Masalah ketidakfahaman boleh diselesaikan dengan tenang berdasarkan undang-undang yang telah sedia ada di dalam perlembagaan. Apabila semua pihak yang bertentangan duduk membincangkan masalah mereka secara bersama, maka masalah yang mungkin timbul tidaklah begitu sukar diselesaikan. Justeru itu, dengan adanya perlembagaan sebagai sumber rujukan utama dari segi perundangan ia dapat menyesuaikan konflik yang berlaku di dalam sesebuah negara dengan lebih mudah.

3.                     Mewujudkan Kestabilan Negara

Walaupun pada dasarnya perlembagaan boleh dipinda, namun ia tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Sebarang pindaan perlembagaan yang dilakukan dalam mana-mana negara, ia mestilah berdasarkan perlembagaan juga. Jika pindaan boleh dilakukan dengan mudah dan mengikut kehendak pemimpin-pemimpin (penggubal), maka ini akan menghasilkan satu keadaan kucar-kacir di mana pemimpin itu mungkin bertindak sesuka hatinya dan mengabaikan kemahuan rakyat. Oleh itu, jelas betapa perlunya perlembagaan bagi mengekalkan keamanan dalam sesebuah negara.

4.                     Mengawal Perjalanan Kerajaan

Dengan adanya perlembagaan, segala tindakan para pemimpin dapat diketahui atau dipastikan. Ini kerana segala tindak-tanduk mereka mestilah berdasarkan kepada perlembagaan yang telah dicatatkan, bukan bertindak mengikut sesuka hati. Oleh itu, pihak pemerintah tidak dapat melakukan sebarang perbuatan yang boleh menyeleweng daripada perlembagaan. Ini bererti perlembagaan dapat menjamin agar pihak pemerintah tidak berlaku curang atau menyalah guna kuasa yang diperuntukkan kepada mereka.

5.                     Mengekalkan Keamanan

Perubahan pucuk pimpinan yang berlaku selepas proses pilihan raya tidak akan menyebabkan sebarang kesan ke atas negara mahupun corak pemerintahan. Ini kerana setiap pemimpin dari parti politik yang menang mestilah mempunyai cita-cita atau konsep yang sama dalam mengendalikan negaranya. Mereka sepatutnya memerintah negara dengan tujuan yang sama sebagaimana pemimpin-pemimpin terdahulu yang memerintah. Oleh itu, walaupun terdapat pertukaran pemimpin, tujuan pemerintahan tidak akan terkeluar daripada maksud berusaha memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat.

6.                     Perlembagaan Menjamin Keamanan Sesebuah Negara

Dengan adanya perlembagaan rakyat mendapat jaminan undang-undang bahawa tidak akan ada unsur-unsur diskriminasi di kalangan mereka. Pembahagian kuasa dinyatakan secara jelas dalam perlembagaan antara rakyat dengan pemerintah serta badan perundangan telah memisahkan antara satu sama lain daripada melakukan penindasan dan salah guna kuasa. Tidak ada pihak mendapat keistimewaan dari segi undang-undang, sebaliknya semua orang harus menghormati dan mematuhi perlembagaan negara. Sikap ini boleh membantu mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat sebagai syarat untuk membolehkan mereka hidup aman damai.




8.4       JENIS-JENIS PERLEMBAGAAN

Perlembagaan terdiri daripada beberapa jenis iaitu

1.          Perlembagaan Panjang dan Pendek

Perlembagaan yang diamalkan oleh sesebuah negara dengan negara lain tidak sama. Panjang atau pendek sebuah perlembagaan itu bergantung kepada berapa banyak perkara yang terkandung di dalam perlembagaan tersebut. Sebagai contoh Perlembagaan India sangat panjang, manakala Perlembagaan negara Amerika Syarikat adalah pendek di mana terdapat hanya tujuh perkara sahaja. Sementara di Malaysia pula perlembagaannya sederhana panjang, mengandungi 183 perkara.

2.         Perlembagaan Bertulis dan Tidak Bertulis

Perlembagaan bertulis adalah perlembagaan yang terdapat dalam bentuk dokumen yang nyata, seperti Perlembagaan Malaysia. Perlembagaan tidak bertulis merupakan peruntukan yang berselerak dalam akta-akta yang lain tetapi tidak dikodkan. Perlembagaan jenis ini terdapat di United Kingdom.

Dalam amalannya perlembagaan tidak bertulis menjadikan parlimen mempunyai kuasa yang sangat tinggi sebagaimana yang wujud di United Kingdom. Sementara di Malaysia yang mengamalkan perlembagaan bertulis, kedudukan parlimen tertakluk kepada perlembagaan kerana dari segi statusnya perlembagaan adalah yang tertinggi. Oleh itu, timbul tanggapan jika sebuah negara mengamalkan perlembagaan bukan bertulis, maka parlimen berkuasa membuat dan meminda undang-undang. Manakala dalam negara yang menggunakan perlembagaan bertulis maka pindaan ke atas perlembagaan itu sendiri hanya boleh dibuat melalui tatacara yang khusus yang berbeza dengan acara perundangan yang lain.

3.         Perlembagaan Berparlimen dan Perlembagaan Berpresiden   

Dalam sistem perlembagaan berparlimen ia mempunyai hubungan antara institusi perundangan dan institusi pemerintahan yang begitu rapat sekali. Dalam sistem perlembagaan berpresiden, pengasingan kuasa agak jelas seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat dan Filipina.

4.         Perlembagaan Ketat (rigid) dan Perlembagaan Longgar (flexible)

Ketat (rigid) atau longgar (flexible) sesuatu perlembagaan dilihat kepada keadaan bagaimana perlembagaan itu boleh dipinda. Perlembagaan itu dianggap sebagai ketat sekiranya sukar dipinda kerana memerlukan majoriti sokongan yang sangat tinggi. Sebaliknya perlembagaan itu dianggap longgar sekiranya ia boleh dipinda dengan hanya memerlukan majoriti kecil sahaja. (simple majoriti).

5.         Perlembagaan Bersekutu dan Perlembagaan Tidak Bersekutu

Dalam perlembagaan bersekutu, kuasa pemerintahannya dibuat dengan cara pengagihan kuasa. Perlembagaan dengan jelasnya membahagikan kuasa pemerintahan antara kerajaan pusat dan negeri. Umpamanya di Malaysia, kuasa itu diperuntukkan melalui Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Lazimnya kuasa kepada persekutuan lebih banyak berbanding dengan kuasa yang dimiliki oleh negeri.

8.5       CIRI-CIRI PERLEMBAGAAN

Lazimnya semua perlembagaan mempunyai ciri-ciri yang sama dari segi konsep dan dasar pelaksanaannya. Antara lain ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:

1.          Kekal

Kestabilan dalam melaksanakan perkara-perkara yang menjadi kebiasaan umum ataupun tatacara yang lazim. Ianya membolehkan rakyat mengetahui hak-hak mereka, menggunakan hak-hak tersebut, dan membolehkan rakyat mengambil bahagian dalam pembangunan negara.

2.         Unsur-Unsur Tanggungjawab

Pemerintah adalah bertanggungjawab ke atas rakyat. Segala permintaan adalah sebagai panduan kepada tindakan-tindakan kerajaan. Rakyat adalah berhak mengetahui segala perbelanjaan kerajaan dan berhak menyatakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap kerajaan.

3.         Pilihan Raya 

Melalui pilihan raya rakyat boleh memilih wakil mereka dalam dewan parlimen. Pemilihan ini menggambarkan kuasa sebenar pemerintahan terletak di tangan rakyat.

4.         Pembahagian Kuasa

Perlembagaan memperuntukkan kuasa secara jelas supaya tidak timbul pertindihan dan tidak ada pihak yang boleh menyalahgunakan kuasa. Kerajaan memainkan dua peranan penting, iaitu sebagai pemerintah dan pembuat undang-undang. Badan kehakiman pula menjadi badan yang melaksanakan undang-undang yang digubal di parlimen.

5.                     Terbuka

Perkara-perkara yang tidak dianggap sulit mestilah diumumkan agar rakyat tahu dan menilai apa yang berlaku di dalam negara. Segala perbincangan yang dijalankan di parlimen akan disebarkan kepada umum melalui media massa seperti belanjawan tahunan negara dan pembuatan dasar baru.

8.6                   CIRI-CIRI PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Terdapat beberapa ciri perlembagaan, iaitu

(i)           Perlembagaan Malaysia adalah perlembagaan yang bertulis yang dikanunkan dalam sebuah buku. Hal/keadaan ini berlainan daripada perlembagaan United Kingdom yang mengamalkan perlembagaan tidak bertulis.
(ii)          Perlembagaan Malaysia mengandungi 183 Perkara dan 13 Jadual. Perkara adalah untuk mentakrifkan hak dan kewajipan pemerintah atau warga negara secara kasar. Manakala Jadual pula berfungsi menerangkan secara terperinci mengenai sesuatu perkara itu.
(iii)         Perlembagaan Malaysia adalah perlembagaan beraja berasaskan demokrasi berparlimen di mana Perkara 32 menjelaskan mengenai Kepala Utama Negara bagi Persekutuan.            
(iv)         Perlembagaan Malaysia bersifat ketat dan sukar dipinda. Pindaan yang hendak dibuat tidak sama dengan pindaan akta-akta lain yang diluluskan oleh Parlimen. Perkara 159 memperuntukkan bahawa beberapa peruntukan yang hendak dipinda hendaklah dipersetujui oleh Majlis Raja-raja Melayu dan lain-lain hendaklah mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.    
(v)          Perlembagaan Malaysia merupakan undang-undang utama dan tertinggi. Ia memperuntukkan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang yang berlawanan dengannya hendaklah terbatal dengan sendirinya.
(vi)         Dalam perlembagaan Malaysia terdapat idea pengasingan kuasa sebagaimana doktrin itu diamalkan di England. Pembahagian itu dapat dibahagikan kepada tiga bahagian yang berlainan dalam sistem pemerintahan negara, iaitu kuasa menggubal undang-undang, pemerintah dan kuasa kehakiman.         
(vii)        Selain menentukan tanggungjawab Persekutuan dan mengatur perhubungan antara Persekutuan dan Negeri, perlembagaan Malaysia juga menentukan kuasa-kuasa perundangan dan kuasa-kuasa pemerintahan antara kerajaan pusat dan negeri melalui tiga senarai yang dipanggil Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama.
(viii)       Perlembagaan turut memperuntukkan kebebasan asasi. Bahagian-bahagian dalam perlembagaan Malaysia mengenai kebebasan asasi individu adalah bahagian yang mustahak dalam perlembagaan Malaysia bertujuan menjamin hak asasi seseorang warganegara yang sah dari segi undang-undang. Peruntukan ini merupakan salah satu ciri perlembagaan bertulis iaitu menjelaskan dengan nyata mengenai jaminan perlindungan yang diberikan kepada setiap warganegara dan orang-orang lain dalam negara itu.




8.7       KANDUNGAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Bahagian 1       -  Negeri-negeri, Ugama dan Undang-undang bagi Persekutuan
Bahagian 2       -  Kebebasan Asasi
Bahagian 3       -  Kewarganegaraan
                           Bab 1   -        Perolehan Kewarganegaraan
                           Bab 2   -        Penamatan Kewarganegaraan
                           Bab 3   -        Tambahan
Bahagian 4       -  Persekutuan
                           Bab 1   -        Kepala Utama Negara
                           Bab 2   -        Majlis raja-raja
                           Bab 3   -        Pemerintah
                           Bab 4   -        Badan Perundangan Persekutuan
                           Bab 5   -        Acara Perundangan
               Bab 6   -  Keupayaan terhadap harta, kontrak dan guaman
Bahagian 5       -  Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negeri-negeri
                           Bab 1   - Pembahagian kuasa-kuasa perundangan
                           Bab 2   - Pembahagian kuasa-kuasa pemerintahan
                           Bab 3   - Pembahagian beban kewangan
                           Bab 4   - Tanah
                           Bab 5   -  Pembangunan negara
   Bab 6   -  Tinjauan Persekutuan, nasihat Persekutuan kepada negeri dan pemeriksaan Persekutuan mengenai kegiatan-kegiatan  Negeri
                           Bab 7   - Masjlis Negara bagi Kerajaan Tempatan
   Bab 8   -  Pemakaian bagi Negeri-negeri Sabah dan Sarawak
Bahagian 7       -  Bab 1   -        Am
                           Bab 2   -  Pemakaian bagi Negeri-negeri Sabah dan Sarawak
Bahagian 8       -  Pilihan raya
Bahagian 9       -  Penghakiman
Bahagian 10     -  Perkhidmatan Awam
Bahagian 11     -  Kuasa-kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif, dan Kuasa-kuasa Darurat
Bahagian 12     -  Am dan Pelbagai
Bahagian 12A  -  Perlindungan Tambahan Bagi Negeri-negeri Sabah dan Sarawak
Bahagian 13     -  Peruntukan Sementara dan Peralihan
Bahagian 14     -  Perkecualian Bagi Kedaulatan Raja-raja, dan sebagainya.


8.8                   UNSUR-UNSUR TRADISI DALAM PERLEMBAGAAN

 
Pembentukan perlembagaan Malaysia telah melalui satu proses sejarah yang panjang. Ia terdiri daripada adunan unsur-unsur yang terdapat dalam sistem pemerintahan Melayu lama dan juga penjajah Inggeris. Inggeris yang pernah memerintah lebih satu abad di Tanah Melayu telah meninggalkan banyak kesan ke atas Tanah Melayu, antaranya ialah perlembagaan. Beberapa unsur pemerintahan Inggeris yang pernah diamalkan telah diserap masuk ke dalam perlembagaan seperti jentera Kerajaan, Parlimen, dan kewarganegaraan. Unsur-unsur baru bagi orang Melayu ini dikenali sebagai unsur-unsur moden dalam perlembagaan. Sementara beberapa unsur lama seperti institusi raja, bahasa Melayu, hak istimewa, dan agama Islam dikekalkan. Unsur-unsur lama yang dikekalkan di dalam perlembagaan ini digolongkan sebagai “unsur-unsur tradisi” iaitu amalan pra-British. Unsur-unsur tradisi di dalam perlembagaan ini sangat perlu dipelihara bagi mewujudkan perpaduan kaum dan kestabilan politik sebagai syarat memajukan negara. Empat unsur lama yang pernah diamalkan dalam sistem pemerintahan Kerajaan Melayu lama yang dikekalkan di dalam perlembagaan negara kita, ialah

1.          Pemerintahan Beraja                      

Pemerintahan beraja sudah lama wujud dan menjadi amalan turun temurun di negeri-negeri Melayu. Raja atau Sultan menjadi simbol kesetiaan orang Melayu. Pemerintahan dan pentadbiran pada waktu itu berpusat kepada raja dan istana. Kepentingan raja atau sultan ini dapat dilihat dalam kerajaan yang ditubuhkan. Kerajaan itu dari perkataan raja sebagai pusat atau fokus segala sumber rujukan dan kuasa yang membolehkan mereka memerintah secara mutlak. (Sila imbas kembali pelajaran ini dalamBab 2).                                                           

Kedudukan Raja-raja Melayu dikekalkan apabila Inggeris campur tangan dalam hal ehwal negeri Melayu pada abad kesembilan belas. Seorang penasihat Inggeris akan dilantik untuk menasihati sultan dalam segala hal ehwal perkara yang berkaitan dengan adat istiadat Melayu dan agama Islam (lihat Maxwell & Gibson, 1924). Mereka menggunakan kedudukan raja Melayu sebagai simbol perpaduan dan tempat orang Melayu menumpahkan taat setia mereka sebagai daya tarikan supaya orang Melayu tidak menentang Inggeris. Sebarang usaha menentang Inggeris boleh ditafsirkan sebagai menderhaka kepada sultan.

Malayan Union ditentang kerana beberapa perkara yang menyentuh kedudukan orang Melayu dan kedaulatan kuasa raja Melayu, sebaliknya menguntungkan orang bukan Melayu. Sultan sekarang kehilangan kuasa apabila Tanah Melayu ditadbir oleh Sir Edward Gent sebagai Gabenor pertama yang berpusat di Kuala Lumpur. Pemberian kerakyatan mengikut prinsip “jus soli” atau mengikut tempat lahir telah menghapuskan hak turun temurun orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini. Kerakyatan telah memberi orang bukan Melayu mempunyai hak yang sama dengan orang Melayu. Persamaan ini telah menambahkan kebimbangan orang Melayu terhadap bukan Melayu apabila mereka menguasai ekonomi perdagangan Tanah Melayu dalam sektor getah dan bijih timah.

Bantahan segenap lapisan orang Melayu telah berjaya menggagalkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengekalkan kedudukan raja dan menggantikan jawatan gabenor kepada Pesuruhjaya Tinggi Inggeris ke Tanah Melayu.

Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 telah menetapkan Raja Perlembagaan. Yang Dipertuan Agong (YDA) sebagai Ketua Utama negara memerintah atas nasihat Perdana Menteri dan kabinet. Sementara di peringkat negeri, Sultan dan Yam Tuan Besar Negeri Sembilan memerintah dengan nasihat Menteri Besar dan majlis mesyuarat negeri. YDA dan raja-raja Melayu kekal kebal dari segi undang-undang dan sebarang perubahan yang hendak dibuat terhadap kedudukan YDA dan Raja-raja Melayu mestilah mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.

2.                     Agama Islam

Islam dan orang Melayu bukan satu perkara baru. Dalam perlembagaan Malaysia, orang Melayu didefinisikan sebagai orang beragama Islam dan mengamalkan cara hidup dan budaya Melayu serta bertutur dalam bahasa Melayu. Sebenarnya orang Melayu telah mengenali dan mengamalkan Islam sejak lebih 500 tahun yang lalu. Antara faktor penting agama Islam cepat diterima oleh orang Melayu kerana sultan pada waktu itu beragama Islam. Orang Melayu yang terkenal sebagai taat dan pantang derhaka kepada Sultan begitu mudah menerima Islam sebagai agama baru mereka, lebih-lebih lagi kedudukan sultan sebagai ketua agama.

Kedudukan Sultan sebagai ketua agama telah dikukuhkan lagi apabila Inggeris campur tangan di negeri-negeri melayu pada tahun 1870-an. Bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874, kuasa Raja-Raja Melayu telah dihadkan dalam adat istiadat dan agama Islam sahaja. Selain daripada itu, Sultan hendaklah menerima nasihat daripada seorang penasihat Inggeris.
Setelah merdeka, Islam telah dijadikan agama persekutuan dan kerajaan. Sebagai agama rasmi negara, kerajaan mempunyai kuasa untuk memperuntukkan sebahagian daripada perbelanjaan untuk pembangunan dan kemajuan berkaitan dengan agama Islam, seperti perbelanjaan mengurus, membina masjid, dan sekolah agama. Bagaimanapun, sesuai dengan negara demokrasi, agama lain bebas untuk diamalkan tetapi dilarang untuk menyebarkannya kepada penganut agama Islam.

3.                     Bahasa Melayu        

Seperti agama Islam, bahasa Melayu juga tidak asing bagi orang Melayu kerana telah ditetapkan oleh perlembagaan bahawa orang Melayu ialah orang yang berbahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu pada masa dahulu adalah penting kerana penduduk yang tinggal di Tanah Melayu pada waktu itu tidak majmuk dari segi bahasa dan budaya yang diamalkan seperti sekarang. Tanah Melayu dihuni oleh sebahagian besar penduduknya orang Melayu. Di samping sebagai bahasa utama di kalangan penduduknya bahasa Melayu juga mejadi Lingua Franca (perantaraan) kepada pedagang yang dating berniaga di Melaka semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Malah semasa Inggeris menjajah Tanah Melayu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Segala minit mesyuarat telah ditulis dalam tulisan jawi.

Bermula pada tahun 1946, bahasa Melayu dan Inggeris boleh digunakan dalam mesyuarat tetapi tulisan (minit mesyuarat) mestilah ditulis dalam bahasa Inggeris. Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang menggantikan Malayan Union masih mengekalkan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa rasmi. Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan wujud kembali apabila menyedari masalah perpaduan yang wujud di Tanah Melayu. Pada tahun 1956, bahasa Melayu telah disyorkan oleh penyata Razak supaya diterima pakai dalam sistem pendidikan negara. Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan sebagai tolak ansur antara kaum semasa mencapai kemerdekaan telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara pada tahun 1957 dan bermula pada tahun 1961 - Akta Pelajaran mewajibkan bahasa Melayu sebagai pengantar di sekolah-sekolah.

3.                     Kedudukan Hak Istimewa Orang Melayu  

Sama seperti agama dan bahasa bagi orang Melayu, hak istimewa juga bukan perkara asing bagi orang Melayu. Tidak timbul soal diskriminasi, persaingan dan konflik antara kaum pada waktu itu. Apabila Inggeris membawa masuk pekerja dalam sektor getah dan bijih timah dengan jumlah yang ramai sebagai tenaga kerja, maka soal yang tidak pernah dipersoalkan selama ini telah timbul.

Orang Melayu merasa terancam dan dianak tirikan apabila melihat jumlah pendatang semakin ramai. Tambahan pula dengan kejayaan mereka menguasai ekonomi negara telah memaksa kerajaan memikirkan supaya orang Melayu tidak terlalu ketinggalan jauh dari kaum pendatang. Hak istimewa orang Melayu telah diperkenalkan dalam perlembagaan supaya pembelaan dan Bantuan dapat diberikan kepada orang Melayu sebagai penduduk peribumi. YDA telah diberi kuasa untuk pelihara kedudukan hak istimewa orang Melayu di Semenanjung.

Sabah dan Sarawak bila menyertai Malaysia pada tahun 1963. Antara perkara yang terkandung dalam hak istimewa orang Melayu ialah kuota kemasukan dalam sektor awam dan kuota kemasukan ke institusi pengajian tinggi, biasiswa, kemudahan mendapat lesen dan permit perniagaan. Bagaimanapun YDA tidak boleh mengganggu atau menarik balik apa-apa keistimewaan kaum lain untuk diberi kepada peribumi.

8.9     PERANAN UNSUR TRADISI DALAM PERLEMBAGAAN

Unsur-unsur tradisi yang terdapat di dalam perlembagaan negara unik kerana ia menggabung unsur lama dan baru. Di samping keunikan itu, terdapat beberapa faedah dan kebaikan yang boleh dikecapi oleh rakyat Malaysia.

Unsur-unsur tradisi ini boleh menjadikan orang Melayu setanding dengan kaum lain. Orang melayu yang ketinggalan dalam semua bidang jika disbanding dengan kaum bukan Melayu. Peruntukan yang terkandung dalam hak istimewa orang Melayu membolehkan kerajaan membantu orang Melayu supaya mereka tidak ketinggalan terlalu jauh atau terpinggir di negara sendiri.

Hak istimewa ini juga dapat mengimbangi kedudukan mereka yang hilang semasa penjajahan Inggeris. Orang Melayu dipinggirkan dari sektor ekonomi perdagangan yang menguntungkan. Sebaliknya orang bukan Melayu telah dibawa masuk sebagai tenaga kerja dalam sector tersebut. Dasar penjajah Inggeris ini seolah-olah menafikan hak orang Melayu dan memberikan dasar ekonomi baru kepada pendatang asing dalam tempoh yang lama.

Konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan sekarang bertujuan mengekalkan ketuanan Melayu sesuai sebagai penduduk peribumi negara ini. Orang Melayu yang menduduki negara ini sejak sekian lama memang telah sebati dengan sistem pemerintahan beraja. Raja bagi orang Melayu adalah lambang tempat menumpahi taat setia yang tidak berbelah bagi. Di sini raja boleh berfungsi sebagai unsur penyatuan kepada orang Melayu dan penduduk Malaysia yang berbagai kaum supaya bersatu-padu dengan memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi juga.

Semua unsur tradisi yang terdapat di dalam perlembagaan Malaysia sebenarnya telah dipersetujui bersama oleh komponen parti Perikatan semasa merangka perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. UMNO telah melonggarkan syarat kerakyatan yang diberikan kepada kaum buka Melayu, sebagai ganti kepada persetujuan M.C.A dan M.I.C untuk mengekalkan unsur tradisi di dalam perlembagaan. Persetujuan dan tolak ansur ini dikenali sebagai pakatan murni atau quid pro quo. Untuk memelihara keharmonian kaum di negara ini, orang ramai dilarang mengungkit atau memperkatakan perkara yang telah dipersetujui melalui Akta Hasutan 1948 yang dipinda. Pindaan itu melarang menggolongkan perkara yang telah dipersetujui semasa mencapai kemerdekaan sebagai perkara sensitif.

Rujukan:
  • http://jendelasejarahku.blogspot.my/2012/07/nota-perlembagaan-malaysia.html
  • http://amanipunyu.blogspot.my/
(c) Layout coded by Caye. Resources: one two three